Judul : Inilah Surah Yang Paling Dicintai Allah SWT! Amalkan
link : Inilah Surah Yang Paling Dicintai Allah SWT! Amalkan
Inilah Surah Yang Paling Dicintai Allah SWT! Amalkan
Angin Kota Madinah bertiup dingin. Lautan manusia mula bubar meninggalkan Masjid Nabawi setelah selesai solat Isyak.
Ada yang terus pulang ke hotel. Tidak kurang juga memilih untuk kekal di masjid, berasak-asak memasuki Raudhah dan mengucapkan salam kepada Rasulullah.
Selepas menyarung sandal, aku mundar-mandir di depan Babus Salam mencari kelibat Aizat dan Fateh.
Kami berjanji untuk berkumpul di situ selepas solat kerana Fateh ingin membawa kami ke restoran makanan Pakistan yang ditemuinya siang tadi.
Saat itulah bahuku tiba-tiba ditepuk dari belakang.
“Sori Kal.” Fateh dan Aizat menyapa sambil tersengih. “Kami solat di luar tadi.”
Wajahku berkerut. “Dalam banyak je saf kosong.”
“Tak sempat.” Geleng Aizat. “Imam dah angkat takbir masa kami turun dari hotel. Ingatkan lepas Fatihah dia baca ayat panjang. Sekali Qul ‘Auzu Birabbil Falaq daaaa.”
Aku dan Fateh pecah ketawa.
“Dulu masa kat maahad…” Fateh pula membuka cerita. “Aku pernah kena bahan sebab baca Alam Tarokai waktu jadi imam. Tak tahu kenapa, seolahnya macam tak standard budak tahfiz jadi imam baca surah pendek. Segan aku dibuatnya. Lepas tu kalau kena tolak jadi imam, aku memang tak baca dah surah pendek-pendek.”
Kami menghabiskan sisa tawa sambil bergerak meninggalkan perkarangan masjid. Di dalam hati, fikiranku menerawang jauh.
Sebahagian orang menganggap surah al-Falaq sebagai surah pendek yang hanya sesuai dibaca ketika solat sendirian. Tak kurang juga yang membacanya sebagai amalan sebelum tidur, atau di dalam zikir Ma’thurat pagi dan petang.
Bagi mereka yang mempelajari atau mengamalkan kaedah rawatan Islam pula, surah al-Falaq merupakan antara surah yang wajib diamalkan sebagai pendinding menghadapi gangguan makhluk halus.
Akan tetapi tahukah anda, surah al-Falaq sebenarnya memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada semua itu?
Perhatikan makna indah dalam hadith di bawah:
Uqbah bin ‘Amir datang bertemu Nabi dan berkata: “Ya Rasulullah, bacakan kepadaku beberapa ayat dari surah Hud dan surah Yusuf. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Wahai Uqbah, tidaklah engkau membaca satu surah yang paling dicintai Allah dan paling agung di sisi-Nya selain surah al-Falaq. Jika engkau mampu untuk tidak ketinggalan membacanya dalam setiap solat, maka lakukanlah.” (Hadis ini dinilai Sahih oleh Sheikh Albani rahimahullah dan dinukil oleh al-Hafiz al-Munziri dalam kitabnya Targhib wa Tarhib)
MENGENALI SURAH AL-FALAQ
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ ١ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ٢ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ٣ وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّٰثَٰتِ فِي ٱلۡعُقَدِ ٤
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ٥
Katakanlah : Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai waktu Subuh,
Dari kejahatan makhluk-makhluk yang Dia ciptakan,
Dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita,
Dan dari kejahatan wanita tukang sihir yang meniup simpulan dan ikatan,
Dan dari kejahatan orang-orang yang dengki apabila dia dengki
Surah ke-113 ini mengandungi lima ayat dan tergolong dalam kategori surah Makkiyah. Ibn Abi Hatim membawa riwayat daripada Jabir yang mengatakan Al-Falaq bermaksud waktu Subuh, sebagaimana firman Allah di dalam ayat ke 96 surah al-An’am bermaksud: “Dia menyinsingkan pagi.”
Surah al-Falaq memiliki hubungan yang rapat dengan surah an-Naas. Kedua-dua surah ini dinamakan al-Muawwidzatain kerana dimulakan dengan permohonan berlindung kepada Allah.
Untuk lebih memahami intisari surah ini, terdapat dua istilah bahasa Arab yang menarik untuk kita sama-sama ketahui.
Istilah pertama ialah Musta’az Bihi, yang bermaksud kepada siapa kita meminta perlindungan. Dalam konteks surah al-Falaq, Musta’az Bihi di sini ialah Allah SWT.
Menerusi keagungan dan kekuasaan-Nya, kita memohon Allah SWT memelihara kita daripada kejahatan makhluk-Nya, kegelapan yang hadir pada waktu malam, rencana tukang-tukang sihir dan orang-orang yang dengki.
Istilah kedua pula ialah Musta’az Minhu, yang bermaksud apakah bentuk ancaman yang kita minta dijauhkan.
Dalam konteks surah al-Falaq, Musta’az Minhu ialah kita memohon dijauhkan daripada kejahatan makhluk, kegelapan malam, ancaman tukang sihir dan orang-orang yang dengki.
PENGAJARAN
Jadikan Allah sebaik-baik tempat kita memohon pertolongan.
Jauhi perbuatan khurafat seperti ilmu hitam atau mendatangi bomoh.
Jauhi hasad dengki sesama manusia. Kecuali dua golongan yang dibenarkan syarak untuk kita hasad kepada mereka.
Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Mas’ud, Rasulullah Sallallah Alaihi Wasallam bersabda:
“Hasad itu hanya dibenarkan dalam dua perkara. Lelaki yang dikurniakan Allah harta dan dia menggunakan harta tersebut di jalan yang benar. Dan lelaki yang dikurniakan Allah hikmah kebijaksanaan dan dia mengamalkannya serta mengajarkan kepada orang lain.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
PENUTUP
Sahabat pembaca yang dikasihi Allah,
Antara jalan untuk mensyukuri nikmat Allah adalah dengan mengerjakan amalan-amalan yang dicintai-Nya.
Termasuklah dengan menjadikan surah al-Falaq sebagai wasilah untuk meraih cinta Allah.
Walaupun hanya lima ayat, hikmah serta makna di dalamnya sangat baik untuk direnung dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Semoga sahabat-sahabat yang membaca tulisan ini dilapangkan urusan dan tergolong dalam kalangan hamba yang dikasihi Allah SWT.
Jika catatan ringkas ini mengandungi secebis kebaikan, sebarkan kepada rakan-rakan anda. Mudah-mudahan kita tidak jemu berkongsi kebaikan demi meraih ganjaran yang berlipat kali ganda.
Demikianlah Artikel Inilah Surah Yang Paling Dicintai Allah SWT! Amalkan
Sekianlah artikel Inilah Surah Yang Paling Dicintai Allah SWT! Amalkan kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Inilah Surah Yang Paling Dicintai Allah SWT! Amalkan dengan alamat link https://seadanyaberita.blogspot.com/2018/11/inilah-surah-yang-paling-dicintai-allah.html